Rabu, Disember 09, 2009

Diam

Bercakap, berkata-kata, boleh membuang prejudis dan salah sangka. 

Sentiasalah bertegur dan berbicara untuk mengelak salah faham dimana-mana

(Bicara membuang prasangka. Diam membawa salah sangka) 

 

 

 

*nasihat untuk diri sendiri

Sabtu, Disember 05, 2009

1000 Catatan Sabah - 1










20) Masjid?

Sesuatu yang amat berbeza bila tiba di Sabah ialah kesukaran melihat atau menemui masjid atau surau. Oleh kerana struktur masyarakat Sabah benar-benar menggambarkan semangat 1 Malaysia, maka masjid atau surau bukanlah merupakan struktur binaan utama disini. Ada banyak juga rumah ibadat lain yang dibina. Tetapi jangan terkejut jika melihat gereja bersepahan disini. 


19) Belacan  
Belacan. Unik sekali. Ada besar, kecil. Ada dijual besaiz jari, berharga RM1. Jadilah sebaai tanda mata. Sipenjual tersenyum sinis mendengarkan saya mahu menjadikannya sebagai cenderamata. 



18) Kampung Air

Kawasan gay, mak nyah, orang tua, orang muda. Kampung Air ada labelnya sendiri. Kalau mahu cari sisi lain, disinilah tempatnya.
 


17) Terlarang

Kehidupan terlarang di Kampung Air. Disini tempat yang penuh dosa. Jangan berani berjalan seorang diri kerana kami yang lalu bertiga ini pun didekati perempuan yang nampaknya seperti mayat hidup.



16) Cenderamata


Cenderamata utama jika datang ke Sabah, apalagi jika bukan mutiara. Tetapi awas, jangan tertipu. Jika mahu yang benar-benar asli, tanyalah kepada yang pakar. Pengalaman pertama ke sana dahulu saya dibawa kemari oleh teman Semenanjung yang belajar di UMS. Beliau menerangkan yang mutiara ini ada banyak jenis. Ada yang datang dari Sabah, China Australia, Filipina. Kualiti sahaja yang membezakan.


15) Api-Api. 
Api-Api merupakan satu tempat / bandar di KK. Katanya ia berasal dari satu peristiwa. Pada suatu hari berlaku kebakaran. Nelayan yang dilautan melihat dari jauh menjeri api! api. Lalu terbitlah nama Api-Api. Tidak tahulah ia kisah benar atau saya ditipu.
 



14) Buah tarap. 
Buah ini disemenanjung hanya dimakan oleh monyet, tetapi di Saah dmakan oleh manusia. Betulkah? Saya sendiri tak pernah jumpa. Jika anda ada maklumat tambahan, sila maklumkan kepada saya.



13) Mencari waktu solat.
Waktu disini satu jam lebih awal dari Semenanjung. Jika subuh di Semenanjung jam 5.30, disini jam 4.40. Saya tersilap awalnya, kerana menjangka waktu solat boleh didapati dengan mudah. Lupa sekali mahu membuat carian di internet. Apabila tiba pada hari pertama, saya mencari akhbar. Ada Berita Harian tetapi dengan waktu solat Kuala Lumpur (dan kawasan yang sewaktu dengannya). Sungguh tidak praktikal. Bagaimana nak tahu kawasan yang sewaktu dengannya sedangkan kita tidak tahu waktu sendiri? Dan saya di Sabah, sepatutnya pamerkan waktu Sabah, bukan waktu Kuala Lumpur. Mencari akhbar tempatan tidak membantu, dan akhirnya dengan ijtihad sendiri, juga petunjuk dari teman baru (dari Sabah), saya solat beralaskan suratkhabar dan kiblat dengan melihat arah matahari. Mujurlah.




12) Puncak GK

Puncak kinabalu diatas awan. Puncaknya, oleh kerana tinggi, letaknya diatas awan. Kapalterbang pun lalu dibawah awan. Jadi, bayangkanlah betapa tingginya ia.


11) Malam

Kehidupan malam di KK boleh dikatakan sebagai syurga orang lelaki. Penuh dengan agenda mungkar. Mengapa saya katakana demikian? Banyak sekali pusat karaoke, rumah urut dan pub yang berselerak dicelah bangunan. Itu belum Kampung Air yang terkenal dengan identitinya tersendiri. Maaf warga Sabah, saya bukan sengaja meletak label begini, tetapi berbeza dengan Semenanjung, tempat ini bersepahan di setiap lot kedai. Tiada agenda lain bagi hiburan malam melainkan ke tempat seperti ini.


10) Sejarah Kota Kinabalu
Semasa pemerintahan British di negeri Sabah (dikenali sebagai "Brtitish North Borneo)" pada waktu itu), pusat pemerintahannya di Pulau Gaya. Satu peristiwa kebakaran telah melanda Pulau Gaya dan pihak British terpaksa mengalihkan pusat pemerintahan ke sebuah perkampungan nelayan di persisiran Pantai Barat Sabah yang dipanggil Gentisan. Petempatan tersebut bertukar nama kepada Jesselton sempena memperingati Sir Charles Jessel. Apabila Sandakan, yang pada waktu itu merupakan ibu negeri Brtitish North Borneo, musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua, pentadbiran British telah dipindahkan ke Jesselton. Jesselton kemudiannya bertukar nama kepada "Kota Kinabalu" pada tahun 1967, iaitu 4 tahun selepas Sabah menyertai gagasan Malaysia yang baru. (Sumber adalah dari Wikipedia) 



9) Pakej
Sabah membekalkan anda pakej yang menarik. Banyakpilihan yang ada - mendaki ke gunung, atau snokerling di laut atau diving di pulau, atau berkelah dipantai atau menikmati hutan yang masih dara. Semua ada. Lengkap.  





 
8)  Banyak KFC
Terdapat banyak KFC di Bandar KK. Oleh itu, jangan anggap anda salah masuk jalan, atau melalui simpang yang sama. Menurut teman disini, kesukaran mendapatkan makanan halal menyebabkan permintaan terhadap KFC meningkat. Tidak hairanlah, kita akan menemui beberapa (boleh jadi dua, tiga atau empat) KFC di satu kawasan yang sama. Unik.



7) Bahasa
Bahasa rasmi negeri Sabah ialah bahasa Melayu, namun terdapat bahasa-bahasa lain yang ditutur; seperti bahasa Kadazan, bahasa Cina (Bahasa Irannun, bahasa Bajau) dan lain-lain. Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan utama, bahasa Melayu Sabah yang digunakan oleh masyarakat Sabah terdapat sedikit perbezaan daripada Bahasa Melayu piawai (Bahasa Melayu Baku). 



6) Gunung Kinabalu
Tarikan utama Sabah ialah Gunung Kinabalau (GK). GK merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia tersergam indah di sekitar kawasan bukit bukau pada ketinggian 4,095 meter. 



5)  Masyarakat
Penduduk Sabah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, di mana kumpulan etnik terbesar adalah kaum Kadazandusun (satu pertiga) dan diikuti oleh Tausug ( Sulu ), Bajau dan Cina, Melayu, dan kaum-kaum minoriti lain.  


 
4)  Daerah
Sabah terdiri daripada 6 daerah pentadbiran atau Bahagian, yang dahulu dikenali sebagai "Residensi" iaitu Kudat, Pantai Barat (Utara dan Selatan), Pedalaman, Sandakan dan Tawau. Bandar-bandar utama di Sabah adalah Kota Kinabalu yang juga merupakan ibu negeri, diikuti Keningau, Papar, Sipitang, Tuaran, Penampang, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.  


3) Geografi 
Mari kita berkenalan dengan Sabah. Ia adalah sebuah negeri yang terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Juga dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu' kerana kedudukan negeri tersebut yang berada di bahagian luar dan selatan zon ribut.



2) Maklumat
Sebelum menjejakkan kaki ke Sabah, elok kiranya anda mencari maklumat dahulu seputar Sabah. Sabah, bukan seperti yang kita dengar dan baca. Ia lebih dari itu. Apa yang di tulis sebenarnya sekelumit dari apa yang terzahir. Bagi warga Semenanjung khususnya, buatlah carian sebelum menjejakkan kaki ke negeri Di Bawah Bayu ini. Jika tidak, anda akan kehilangan banyak perkara yang tidak pernah anda fikirkan. Jangan sampai menyesal pula!




1) Selamat datang
Kota Kinabalu (KK), khususnya Lapangan Terang Antarabangsa KK dan Terminal 2 LCCT letakknya dipinggir laut. Cukup memberi satu alu-aluan yang membahagiakan bila pelawat yang pertama kali datang memandang ke lautnya yang membiru, hijau suasana hutannya, dan struktur geologi yang masih belum banyak terusik. Datang ke KK, di alu-alukan dengan keghairahan meneroka seluruh alamnya.



Selasa, Disember 01, 2009

Notis

Saya sudah berjanji mahu menaikkan entri Seribu Catatan Sabah. Ia berkisar seputar perjalanan dan (separa) kembara ke Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

Sudah hampir seratus catatan ringkas saya nukilkan. Namun ia terhenti tanpa sempat saya letakkan disini. Perjalanan ke Sabah sebenarnya ada kisah yang tidak terzahir. Ada pedih dan luka. Ada hati dan jiwa terguris. Ada persahabatan tercalar. Ada ikatan hampir musnah.

Saya tidak mampu menulis panjang akan hal ini. Ada aib disebaliknya. Saya masih belum punya kekuatan menaikkan entri Sabah. Luka yang ada, pedih yang masih terasa tidak membenarkan saya menulisnya dengan suka. Semua catatan berbaur duka.

Maafkan saya. Perjalanan ke Sabah membawa luka tidak terubat pada persahabatan dua insan. Beri saya masa sehingga luka ini sembuh. Jika tidak, biarkan saya bawa pergi cerita penuh duka.

Maafkan saya


Rabu, November 25, 2009

Berbisnes ibarat 'berperang' (tapi bukan berperang) - Siri 1

Saya diberitahu oleh seorang bekas pegawai askar, terdapat Empat Fasa Peperangan (4 Phases of War), yang disimpulkan dengan mudah seperti berikut:
1) Advance (Mara)
2) Attack (Serang)
3) Defend (Pertahan)
4) Tactical deployment (Mengatur kedudukan secara taktikal)

Apabila mendengar beliau bercerita, saya segera mengaitkan fasa ini dalam perniagaan. Mungkin ada mengibaratkan ini seperti tips peperangan oleh Sun Tzu, tetapi kerana belum baca buku Sun Tzu, memadailah saya membuat pengamatan sendiri tanpa mencampuradukkan ia dengan pandangan luar.

Mari kita lihat kaitan fasa peperangan dengan fasa perniagaan.

Pertama, mara (advance).

Untuk mara atau masuk dalam perniagaan, kita haruslah mempersiapkan diri dengan segala macam kemahiran. Oleh itu, amat sesuai untuk kita belajar selok-belok perniagaan secara terus, maksudnya belajar secara praktikal dengan usahawan / peniaga / pemilik perniagan. Oleh itu, kita selalu melihat ramai orang bekerja bagi menimba pengalaman, belajar secara serius cara menjalankan perniagaan kemudian barulah memulakan perniagaan sendiri.

Kita perhatikan bagaimana askar bersiap sedia ke medan perang. Sebelum ditauliahkan sebagai askar, mereka perlu menjalani pelbagai jenis latihan dari peringkat asas satu demi satu sehingga ke peringkat berikutnya. Mereka dibekalkan dengan ilmu perang, bukan sahaja dengan menggunakan senjata juga tanpa senjata. Mereka ditanam dengan disiplin yang kuat, 'rejim' latihan yang perit (drill), pengulangan secara rutin dan menempuh tempoh masa yang rigid (baca: kemahiran bukan boleh datang sekelip mata). Bagi yang tidak tahan, maka mengalah dan tewas. Jika cekal dengan impian menjadi seorang askar, maka bertahanlah dengan segala macam perkara yang tidak pernah terfikirkan (ragging, denda).

Sebaik sahaja selesai dan berjaya melepasi tempoh latihan, mereka dikurniakan tauliah dan benar-benar bergelar seorang askar. Mereka benar-benar telah melepasi satu tempoh latihan yang memeritkan tetapi ia adalah satu proses bagi membentuk seorang askar yang berjaya (baca: jangan mengalah dengan cubaan, biarpun ketika bekerja diamanahkan tanggungjawab berat dan tekanan kerja yang mendera). Apa yang diterapkan ialah, mereka mempertahankan sebuah negara dari serangan musuh, dan nyawa harus dipertaruhkan untuk tujuan itu.

Oleh itu, jika kita benar-benar mahu berjaya sebagai seorang usahawan / peniaga, laluilah semua halangan di tempat (andai menjadikan tempat kerja sebagai medan latihan) dengan istiqamah dan jujur. Siapkan segala kerja, jangan melawan kata dan arahan ketua, usah bertelagah dengan teman sepejabat dan konsisten dengan prestasi.

Lihat dan perhatikan bagaimana ketua membuat tidakan berikut: menyelesaikan masalah, membuat keputusan, memberi arahan yang boleh diterima kepada kakitangan bawahan, mengendalikan mesyuarat, berkomunikasi dengan ketua (superior) dan kakitangan bawahan, berhubung dengan pelanggan dan pembekal, membentangkan bajet, membuat analisa pasaran,  memotivasi pekerja, menyusun atur hidup dipejabat dengan rumah, memahami organisasi dan syarikat dan macam-macam lagi. Smeua ini pelajaran tidak langsung yang kemdiannya akan dipraktikkan dalam perniagaan sendiri.

Fasa kedua peperangan menyusul dalam entri berikut

Ahad, November 22, 2009

"Kempen Lindungi Islam"


Sedih.

Itu perkataan pertama yang terlintas bila membaca tajuk berita ini.  Apakah benar Islam sudah tidak selamat sehingga ia perlu dilindungi? Dimana para pengikut, penganutnya yang dikhabarkan paling ramai didunia sehingga perlu satu deklarasi / memorandum / kenyataan bagi memperkuat kedudukan sebuah agama? Apakah tiada jalan penyelesaian terhadap semua sengketa?

Walau bagaimanapun, marilah kita ambil usaha ini dengan berlapang dada. Semoga ada kebaikan dari apa yang mereka usahakan. Berdoalah agar kedamaian itu bukan untuk dunia sahaja, tetapi untuk tanah air kita sendiri. Jadikanlah Islam sebagai titik penyatuan, persefahaman dan persaudaraan.

Elakkan pecah belah. Bersatulah atas nama Islam.

Sumber

**********

Kempen lindungi Islam

GENEVA 20 Nov. – Empat tahun selepas kartun Nabi Muhammad SAW mencetuskan bantahan hebat di seluruh dunia Islam, negara-negara Islam melancarkan satu kempen membentuk satu perjanjian antarabangsa bagi melindungi lambang keagamaan dan kepercayaan daripada sindiran.

Ia pada dasarnya adalah satu larangan menghalang kelakuan menghina agama yang amat bercanggah dengan undang-undang ucapan bebas di Barat.

Dokumen yang diperoleh AP menunjukkan bahawa Algeria dan Pakistan mengetuai usaha melobi bagi membawa cadangan itu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diundi.
Jika perjanjian itu disahkan di negara-negara yang mengamalkan kebebasan dalam menzahirkan perasaan sebagai hak utama, perjanjian seumpama itu memerlukan mereka mengehadkan ucapan bebas sekiranya ia secara serius menyinggung kepercayaan beragama. Proses tersebut akan mengambil masa bertahun-tahun.
Cadangan tersebut mendapat tentangan kuat daripada negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS), yang pada masa lalu pernah mengenepikan perjanjian-perjanjian PBB lain seperti satu perjanjian yang berkaitan dengan pekerja asing.

Pakar berpendapat, cubaan itu meletakkan peluang yang akan berakhir dengan kejayaan jika negara-negara Islam berterusan mendesaknya.

Dan apa juga keputusannya, risiko kempen tersebut boleh menyemarakkan semula ketegangan antara Islam dan Barat di mana Presiden AS, Barack Obama pernah berjanji untuk memulihkannya, menghidupkan semula kebimbangan berlakunya ‘pertempuran peradaban’.

Empat tahun lalu, sebuah akhbar Denmark menyiarkan kartun mempersenda Nabi Muhammad SAW, menyebabkan kumpulan penunjuk perasaan yang berang menyerang kedutaan-kedutaan Barat di negara-negara Islam termasuk Lebanon, Iran dan Indonesia. Sebagai tindakan balas, beberapa akhbar Eropah turut mencetak semula kartun yang sama.

Negara-negara yang membentuk 56 anggota Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) kini melobi sebuah jawatankuasa PBB yang kurang dikenali agar bersetuju dengan kenyataan bahawa satu perjanjian melindungi agama adalah perlu.

Langkah itu merupakan satu langkah pertama ke arah mendraf satu protokol antarabangsa yang akan dikemukakan kepada Perhimpunan Agung PBB iaitu satu proses yang mungkin mengambil masa sedekad atau lebih.

Cadangan itu juga mungkin mendapat sedikit sokongan di Perhimpunan Agung tersebut. Sekiranya perjanjian itu diluluskan, mana-mana 192 negara anggota PBB yang mengesahkannya akan terikat di bawah peruntukannya. Negara-negara juga boleh berdepan kritikan sekiranya enggan mengesahkan perjanjian berkenaan.

AS sebelum ini pernah menyatakan, pihaknya tidak akan menerima perjanjian antarabangsa yang menyekat Perlembagaan Pindaan Pertamanya berhubung hak ucapan bebas. – AP


Sabtu, November 21, 2009

Betapa sukar menafsir sebuah persahabatan


Ya, benar. Nada pengucapan kamu sejak akhir-akhir ini mengundang pelbagai persepsi. Ramai yang meneka kamu dilanda kemuraman dan kekecewaan yang amat mendesak. Ada yang menduga, kamu diduga cubaan yang melilit diri sehingga kamu tidak mampu berkelakuan biasa. Wajah kamu, air muka kamu, kata-kata kamu, memberi bayangan kegusaran diri.


Kamu tidak mengiyakan atau menidakkan, namun kata kamu, mengenal manusia bukan mudah. Walaupun hanya ada dua jantina dimuka bumi, kehadiran mereka seperti butiran pasir di gurun nan luas. Pelbagai sifat. Bermacam tabii. Cukup sukar kita sesama insan menebak apa yang ada didalam hati mereka. Ada gemar bersembunyi dibalik bayang-bayang sendiri, ada yang senang mempunyai dua personaliti, malah ada yang tersepit dicelah diri.

Kemudian kamu bertanya, apakah cara yang baik mengenal manusia apatah lagi yang diikat oleh tali persahabatan? Apakah sebenarnya nilai sebuah persahabatan? Apakah yang berharga dalam sebuah persahabatan itu selain persahabatan itu sendiri?

Kamu mengulang soalan ini sehingga jemu. Kemudian kamu lena dengan kenangan lalu sebelum kamu dikejutkan lagi oleh soalan yang sama.

Kamu akui telah berdosa. Dosa kepada seorang sahabat, kepada persahabatan, kepada tali yang mengikat kamu dan sahabat.Kamu mengaku menjadi pengkhianat. Kamu mengaku menjadi pemusnah amanah. Kamu mengaku telah menghapus kejujuran persahabatan. Kamu akui melanggar tembok penghadang yang selama ini kukuh, lalu melepasi benteng manusiawi, membiarkan keinginan menguasai diri, melanggar aturan semulajadi, menjadi penentang arus dan lalu hanyut dalam kemahuan keinginan.

Kamu akui tewas.

Akibatnya kamu disiksa. Kamu tahu memang itulah balasan yang patut kamu terima. Namun kamu persoalkan akan peritnya yang tidak tertanggung hingga kini. Kamu akui telah mengkhianati. Kamu mengakui berkali-kali. Lalu, kamu menyatakan maaf buat sekian kali. Kamu merasa berdosa, merasa terhina, merasa tersiksa oleh perbuatan diri. Kamu mengharapkan kemaafan berbalas. Namun sahabat itu cukup mendera, seolah dendam telah lama bersarang. Lalu, soalan kamu tidak berbalas, sapaan tiada jawapan. Usikan tidak berbekas, ajakan tidak diendah. Wajahnya mencuka, dibalas pandang pun tidak. Mukanya selesa meraba bumi, membiarkan kamu hiba kerana merasa sepi.


Kamu hampa. Kerap kali amu bertanya apakah dengan sepotong maaf berkali-kali belum cukup kuat membaiki tali yang sudah di robek? Harus dikatakan apa lagi selain maaf, jika segala yang kamu lakukan dibalas tuba?

Kamu diberi pembalasan maha pedih.

Persahabatan yang jujur dan ikhlas - nasihat yang lain - akan segera memaafkan jika menyedari mereka saling memerlukan. Cubalah kamu larikan diri darinya, nescaya kamu akan terasa kehilangan dan mahu kembali. Sahabat ialah insan yang amat diperlukan oleh manusia dalam menti perjalanan sehari-hari. Teman segandingan yang mengerti payah lelah, yang mengerti erti susah dan senang. Tidak akan betah hidup sendiri, pasti perlukan seseorang untuk berlawan cakap meskipun jarang bersetuju akan sesuatu perkara. Begitulah erti sebuah persahabatan ini.

Tetapi melihatkan apa yang berlaku, kamu sendiri tidak pasti akan masa depan. Sehingga bila renggangnya tidak tahu, walaupun kamu telah melihat dia sentiasa gelisah dan resah kehilangan kamu sebagai seorang yang selalu disampingnya. Dia tahu, kamu selalu menjadi bahu untuknya bersandar, memberi telinga untuk mendengar, memberi ruang masa biarpun kamu dikejar waktu dan bersama berkongsi airmata duka dan gembira. Kamu tahu dia kehilangan, kamu tahu dia keseorangan. Tetapi bila usaha kamu merapati tidak diendahkan, apalah gunanya terkejar-kejarkan bulan yang jauh didada langit dan kamu menjadi pungguk yang memandang hiba dari celahan ranting.

Pada kamu ada pedih dalam hati dipinggirkan tanpa sebarang kemaafan, dan dia menjauh kerana terasa dikhianati dan enggan memaafkan.Akhirnya kamu akur bahawa sukar untuk menafsir sebuah persahabatan.

Kamu bertanya lagi, sampai bila harus begini?



Selasa, November 17, 2009

Teori baru (dan jangan cuplik!!)

Saya meletakkan dua tanda seruan untuk tajuk entri ini sebagai amaran yang ini merupakan Intellectual Property (IP) tahap tertinggi yang teorinya belum dimunculkan dimana-mana media atau terbitan. Diharap, anda yang membacanya memhami betapa mencuplik, meniru, meng-copy-paste atau memplagiat itu satu kesalahan maha besar dalam dunia pengkaryaan. Jika mahu, minta izin dari tuan rumah, bukan main terjah. Tuhan pun marah!

Hari ini saya menerima pencerahan. Berpeluang duduk semeja dengan (bekas) pegawai askar berpangkat tiga bintang, atau Leftenan Jeneral merupakan satu peluang yang hebat. Hebat bukan kerana tiga bintangnya, atau kerana pangkatnya dalam askar, atau kerana kedudukannya dalam ATM, tetapi kerana mutiara ilmu yang beliau keluarkan sepanjang hampir empat jam berdiskusi.

Empat jam, dan kertas catatan saya - walaupun tidak mencatat semuanya kerana merakam - saya rasakan adalah yang paling banyak sejak tamat belajar. Ya, sudah lama tidak membuat catatan tangan sebegitu banyak. Selalunya lebih senang menaip tapi kali ini, menulis tanpa ada rasa lelah.

Beliau bercakap tentang macam-macam. Mulanya tentang beberapa prinsip yang terdapat dalam dunia ketenteraan. Oh ya, beliau disini kerana satu misi 'khas' kami bertiga. Ada tugasan menarik untuk saya kerjakan hingga hujung tahun. Jika berjaya, akan terbitlah satu naskhah. Itupun jika saya dengan rela menyahut cabaran.

Kemudian beralih ke bidang agama. Soalan mudah - kenapa kita pergi Haji. Merujuk kepada musim haji, agaknya. Beliau memberikan rasionalnya, dan kemudian mengaitkannya dengan prinsip ketenteraan. Betapa kaitan antara duanya amat menarik, sehingga saya (amat) percaya, Tuhan memang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sengaja. Pasti ada sesuatu disebaliknya.

Namun, bila saya menghulurkan naskhah Meniti Jalan Hadapan dan menyatakan temanya adalah rasuah, beliau membuka satu pencerahan maha hebat. Ini adalah pandangan beliau sendiri, dan "minta maaf andai saya salah," katanya.


Beliau bertanya, mengapa banyak negara di Asia mengamalkan rasuah dengan teruk. Beliau menamakan beberapa negara seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Filipina, Kemboja dan Pakistan, kecuali Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Proverty," kata saya. Menjawab dalam bahasa omputih kerana diskuis kami dalan bahasa omputih juga.

Dia senyum, menanti jawapan lain.

"Politics?"

"Leadership?"

Semua tekaan bukan jawapannya. Beliau memberi jawapan, dan saya mempermudahkan teori beliau.

Katanya, negara tersebut diperintah oleh golongan military, atau yang dari kalangan tentera. Secara dasarnya, military atau tentera ditugaskan untuk mempertahankan negara, bukannya memerintah atau memimpin sesebuah negara. Military trained to defend the nation, not to run the nation. Oleh itu, mereka menggunakan kekerasan atau paksaan untuk memerintah. They used force. Ini menyebabkan berlakunya kebarangkalian penyalahgunaan kuasa, tendency to cause abuse of  power. Lantas, rasuah berlaku bagi mengimbangi kekerasan tersebut untuk menjadikan keadaan lebih balance dan tenang dalam membuat urusan. Ini akhirnya menyebabkan struktur masyarakat jadi kucar-kacir dan sistem sosial lemah. Natijahnya, rakyat memberontak, negara tidak aman, ekonomi terjejas, infrastruktur musnah, kepimpinan diragui, dan berlaku pecah belah dalam masyarakat.

Cuba lihat kepada Thailand, kata beliau. Negara ini diperintah junta tentera. Berapa kali rampasan kuaa berlaku, juga tindakan yang dilakukan terhadap penduduk Islam di Selatan negara mereka?


Ya, saya segera teringat kepada Myanmar. Junta tentera yang kejam memerintah rakyat secara total sehinggakan ketika dilanda taufan Nargis pertengahan tahun lalu, bantuan makanan dari negara yang simpati ditampal dengan notis mengatakan bantuan itu adalah dari pihak tentera, dan pemerintah tertinggi negara membuat lawatan ke kawasan yang musnah dilanda dengan publisiti besar, yang seolah mengatakan merekalah bertanggungjawab memberi bantuan dan sumbangan, bukan pihak luar. Lihat, betapa korupnya pemerintahan mereka.

Juga lihat kepada Indonesia, yang selepas Order Lama Sukarno dijatuhkan, wujud pula Order Baru oleh Suharto yang telah widely accused of corruption and suppression of political opposition. Selepas 1998, dengan reformasi dan krisis ekonomi yang melanda Asia dengan Indonesia merasa pukulan hebat, Indonesia menjadi lebih terbuka hinggakan dalam tempoh  selepas jatuhnya Suharto sehingga kini (1998 - 2009), mereka mempunyai empat orang Presiden.

Malaysia, Singapura dan Brunei tidak diperintah oleh golongan tentera, maka itu kadar rasuah mereka tidaklah begitu teruk berbanding negara lain diatas. Namun, ia bagaikan menjadi satu tabiat  menjadikan rasuah, duit kopi sebagai satu amalan profesional. Beliau menamakan ia sebagai fact of life vs way of life. Rasuah itu adalah satu fakta dalam hidup, tetapi ia bukanlah satu cara hidup. Maka kita perlu faham kenapa ia berlaku, kerana ia adalah satu fakta. Tiada negara yang terlepas dari masalah ini. Cuma kita tidak boleh menjadikannya sebagai cara atau rutin (way of life), kerana nanti negara boleh musnah dan hancur.

Beliau tidak menyalahkan pihak tentera, tetapi beliau dengan tegas mengatakan tentera tugasnya mempertahan negara. Mereka tidak dicipta untuk memerintah. Tugas itu jatuh kepada pemimpin. Biarlah pemimpin yang memimpin. Setiap pihak telah ditetapkan dengan bidang kuasa masing-masing, jadi janganlah pula membatasi hak yang ada ditangan.

Pandangan beliau ini saya gambarkan sebagai satu teori baru dalam rasuah. Hingga apabila beliau tamat berbicara tentang itu, saya mencelah, "This is your own theory, Sir?"

"Yes," beliau menjawab.

"This is great, indeed. Great. I'd never expect that," saya memuji. Dan pujian itu ikhlas.

Perbincangan bersambung lagi selepas itu. Mujur beliau tidak menyentuh perihal politik, kerana saya tidak mahu muntah dihadapan beliau. Dan sama-samalah kita berdoa agar negara yang kita cintai ini terhindar dari amalan rasuah. Fact of life tidak mengapa, asalkan bukan way of life.

Namun, teori rasuah itu masih terngiang ditelinga saya sehingga kini.


Sekali lagi saya ingatkan, jangan cuplik!